IMAM, Novel Arwah Bapa Saya, Kini Dalam Bahasa Inggeris
2026-05-21
Translations: enJadi, biar saya berkongsi cerita.
Arwah bapa saya, Abdullah Hussain, seorang penulis dan Sasterawan Negara berkecimpung dalam dunia sastera selama lebih 70 tahun. Beliau punya pemikiran yang besar dan pendirian yang kuat. Beliau juga mencurahkan sepenuh jiwa raganya ke dalam penulisannya.
Semasa beliau masih hidup, beliau pernah bertanya kepada saya sama ada saya mahu membantu beliau menerbitkan buku-bukunya kepada pasaran dunia yang lebih luas. Saya menolak. Pada masa itu, saya lebih berminat menulis program komputer.
Tetapi, dah takdir — selepas beliau pergi, dengan sokongan keluarga, sayalah orangnya yang memikul tugas mengumpul dan menyusun semula hasil penulisan serta harta intelek beliau, supaya semuanya dapat dibawa pulang ke pangkuan keluarga. Kerja itu sudah memakan masa lapan tahun setakat ini, dan masih berterusan. Banyak betul karya yang beliau tinggalkan.
Sepanjang setahun setengah yang lalu, dengan bantuan AI, saya perlahan-lahan menterjemahkan karya arwah bapa saya yang paling besar dan bercita-cita tinggi — sebuah novel berjudul IMAM — ke dalam Bahasa Inggeris, untuk khalayak pembaca yang lebih luas di seluruh dunia. Saya percaya beliau akan gembira melihat idea-ideanya dikongsikan dengan dunia.
Saya tidak rasa terjemahan saya ini mampu mengangkat karyanya seadil-adilnya. Bahasa Melayu terlalu istimewa; makna, erti, samada yang tersurat mahupun tersirat tidak mudah dibawa masuk ke dalam Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, di sinilah kita sekarang.

Jadi pada hari ini saya sukacitanya ingin mengumumkan bahawa buku ini kini sudah diterbitkan di Amazon Kindle (ISBN 978-629-92287-0-7), dan telah saya daftarkan ke dalam program Kindle Unlimited untuk beberapa bulan akan datang. Ia sebuah buku yang tebalnya lebih 600 muka surat.
Saya masih ingat memerhatikan ayah saya duduk di meja makan setiap malam selepas kami makan, mengarang buku ini. Beliau berada di satu hujung meja, menaip pada mesin taip berwarna jingga dan putih, dengan helaian yang sudah siap di satu sisi dan kertas putih kosong yang masih bersih di sisi yang satu lagi. Bayangan beliau itu terasa seperti baru semalam. Manuskrip asalnya hampir 900 muka surat tebalnya. Tiada penerbit yang mahu menerbitkannya.
IMAM tidak bercerita tentang teknologi, NASDAQ, cara mencari ikigai anda melalui rangka kerja sembilan langkah, ataupun tentang AI. Ia bercerita tentang manusia, tentang hubungan sesama kita, dan... nah, anda bacalah sendiri.
Berbesarlah hati kami jika penghormatan diberi kepada kenangan kami terhadap arwah bapa kami dengan membaca karyanya, IMAM, serta meninggalkan ulasan atau komen. 🙇
Nota: Jika anda peminat karya Abdullah Hussain, jangan segan untuk menghubungi saya dan beritahu karya mana yang anda ingin baca seterusnya. Saya akan berusaha untuk mencetak atau menterjemahkannya.
Directory: 2026 Tagged: keluarga buku terjemahan sastera abdullah hussain
Translations: en