Meritokrasi ubat pahit tetapi mujarab
2001-08-09
This is an opinion letter I wrote when I was staying in Higashi-Kawaguchi, fresh out of college during the summer of my first job at Sun Microsystems. It was published in Utusan Malaysia on 9th August 2001:
Saya percaya dengan tahap teknologi dan capaian media kita sekarang, seseorang itu tidak perlu lagi lulus universiti untuk mendapatkan kebolehan baik di dalam bidang tertentu, terutamanya sains maklumat.
Tetapi pokoknya ia bukan sahaja mengenai minat atau kebolehan, tetapi mentaliti dan disiplin pelajar Melayu kita. Oleh sebab untuk membaiki mentaliti dan disiplin pelajar Melayu ini juga, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir mencadangkan pelaksanaan sistem meritokrasi (walaupun sebagai eksperimen) mulai sesi pengambilan pelajar akan datang.
Setelah melalui kehidupan belajar di universiti (walaupun saya belajar di salah sebuah universiti awam di Jepun), saya dapat memahami jika dikatakan, walaupun kelulusan yang baik itu penting, tetapi sebenarnya pembelajaran di univerisiti adalah lebih daripada itu. Jika dibandingkan dengan kursus-kursus lain, kita sedia maklum memang pembelajaran di universiti lebih susah dan membebankan, kerana salah satu sebabnya ialah terdapat subjek-subjek lain yang langsung tiada kaitan dengan kursus seseorang itu, tetapi ia harus diambil bagi memenuhi syarat kreditnya untuk menamatkan kursus.
Tetapi tidakkah kita terfikir, jika sistem pendidikan kita mahu menghasilkan seorang programmer atau seorang jurutera, mengapa tidak dari awal lagi gaya pembelajaran di univerisiti diubah? Ini kerana institut universiti itu bukan hanya mahu menghasilkan seorang programmer atau jurutera tetapi seorang profesional semua bidang, yang berdisiplin dan berwibawa.
Tidak ada gunanya jika seseorang itu boleh menulis kod program yang cukup bagus tetapi masih tidak memahami sejarah negaranya, oleh itu tiada sikap patriotik.
Bertahan selama empat tahun di universiti dan berhadapan dengan segala macam masalah, kebanyakan bergantung dari dalam diri sendiri dan selebihnya dari luar, telah mengajar saya pelbagai perkara. Bukan tidak pernah semasa di universiti, saya menangis seorang diri di belakang dewan kuliah kerana rasa terlalu tertekan untuk mendapatkan gred bagus dalam satu subjek yang saya langsung tidak mempunyai minat.
Bukan tidak pernah dalam empat tahun itu saya terfikir untuk berhenti sahaja belajar di universiti kerana saya rasa minat saya tidak ada dalam bidang tertentu, dan saya percaya kebolehan diri untuk melakukan apa yang saya minat. Pernah semasa saya di tahun dua, saya berdiri di hadapan pensyarah selama lebih dua jam, sambil diherdik dan dimarahi kerana tugasan saya yang dikatakannya tidak berapa elok walaupun saya bersengkang mata lebih tiga hari tiga malam untuk menyiapkannya. Pada masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati saya dan betapa mahu saya pulang saja ke Malaysia kerana tidak tahan lagi dengan satu sistem pembelajaran yang apa-kenapa-dan-bagaimananya langsung tidak saya fahami.
Semasa saya di tahun empat, pernah saya diminta oleh pensyarah untuk melakukan pembentangan mengenai kajian yang sedang saya lakukan. Setelah membuat pembentangan tersebut, saya telah dimarahi kerana pembentangan saya itu tidak berapa memuaskan. Pensyarah tersebut berkata, Kenapa kamu tidak lakukan seperti saya, dengan membuat nota dan rajah yang teliti, seperti saya lakukan setiap kali kuliah? Saya berkata oleh kerana profesor adalah seorang profesional dalam bidang tersebut, maka perkara itu sudah menjadi satu benda yang biasa, dan tidak pula bagi saya.
Tetapi beliau kemudian menjawab, Habis, kenapa kamu hadir di univerisiti? Bukankah untuk menjadi seorang profesional? Saya terdiam. Memang benar kata pensyarah saya itu.
Setelah memasuki alam pekerjaan, saya dapati sebenarnya apa yang diutamakan oleh orang Jepun di sini bukanlah kelulusan peperiksaan ataupun kemahiran (walaupun ia penting) tetapi kendiri dan sikap seseorang itu terhadap pekerjaannya.
Kerana belajar itu suatu perkara yang tidak akan habis sehinggalah kita mati, maka kemahiran dan pengetahuan masih boleh kita timba walaupun setelah tamat universiti. Tetapi sikap itu harus dipupuk dari muda, bak kata pepatah, Meluntur buluh biar dari rebungnya.
Empat tahun di universiti mengajar kita untuk bersikap profesional, berdisiplin untuk mengikut sistem, tidak anti-establishment, sabar, gigih, bersemangat dan bercita-cita tinggi. Apa yang tersurat di atas segulung ijazah itu tidak dapat menggambarkan seribu satu perkara yang tersirat. Tetapi malangnya jika dilihat fenomena pelajar Melayu kita di universiti sekarang, mereka seperti hilang punca tentang mengapa mereka di sana.
Mungkin pelajar Melayu kita, seperti juga remaja Jepun sekarang, yang terlalu mewah atas titik peluh generasi sebelumnya, tidak faham akan apa itu erti kesusahan, lantas hilang fokus dan lupa akan matlamat diri sebagai pemuda-pemudi bangsa.
Jika seperti selalu, jalan keluar yang senang dan cepat diberikan, sehingga kiamat pun, orang Melayu kita akan tetap mencari jalan mudah untuk keluar daripada segala macam masalah.
Tidak semua orang boleh menjadi genius kerana itu adalah anugerah Tuhan, tetapi semua orang boleh bersikap profesional dan berdisiplin, kerana sikap itu boleh dipupuk.
Kita harus mempunyai keyakinan terhadap pemuda-pemudi Melayu kita yang walaupun tanpa bantuan kerajaan, masih boleh menunjukkan kelayakan cukup bagus sehingga boleh memberi persaingan kepada kaum-kaum lain.
Lebih baik sistem meritokrasi ini dilaksanakan dalam keadaan kita berkuasa dan boleh mengubahnya semula kepada sistem kuota jika ia tidak mencapai matlamat, daripada ia dilakukan pada masa kita tiada kuasa dan tidak berkuasa untuk memperbetulkan keadaan. Pelaksanaan sistem meritokrasi ini, walaupun ia pedih dan pahit, tetapi saya percaya ia akan memberi ubat yang paling mujarab bagi pewaris bangsa dan negara kita. Tabik saya kepada bakal mahasiswa Melayu yang sanggup menerima cabaran ini.
- IQBAL ABDULLAH, Kawaguchi, Jepun.
Directory: 2001 Tagged: current affairs malaysia education letters to the editor